Sejarah Bendera Malaysia
Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan
Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk
menimbang serta membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan
Tanah Melayu.
Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu
telah diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373
orang telah mengambil bahagian didalam pertandingan ini dan tiga
rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:
- Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.
- Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
- Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis
Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi
pendapat masing-masing tentang rekebentuk yang disukai oleh mereka.
Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.
Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti
orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang
Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju
dengan Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul
yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the
uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and
eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the
flag to be six feet by three feet."
Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan
bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi
raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk
mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah
hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat
Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam
- agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk
dibawah Perlembagaan Negara Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan
Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna
Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40,
Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama
bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera
Malaysia diberikan nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia
digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika
Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah".
Sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan
setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu
peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh
itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia
ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha
Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil
daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta
nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama
bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai
dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli
jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi
yang berkaitan. Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan
tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya ditukar menjadi,
Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya.
Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia
Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan
nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang
sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di
kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai
tiga nama cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal
memikat hati ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia
tidak benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh
bendera Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru
dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan
Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru
untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul
Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan
nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju
memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’,
‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai
1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama
‘Jalur Gemilang’.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin Pegawai Dari Jabatan Muzium Antikuiti.
Maksud Nama Jalur Gemilang
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan
putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu
haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti
oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju
kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh
yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa
jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan
rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama
ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan
rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat
petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.
No comments:
Post a Comment